Ketua Pusat Pengajian Bahasa Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Nor Hazlina Husin berkata, perkara tersebut adalah realiti di sekolah vernakular apabila para pelajar lebih memen­tingkan penggunaan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris berbanding bahasa Malaysia.

“Senario ini dapat dilihat melalui hasil tinjauan yang saya lakukan di beberapa buah sekolah vernakular dan perkara ini tidak seharusnya dibiarkan terjadi tanpa apa-apa tindakan daripada pim­pinan dalam bidang pendidikan.

“Selain itu, pelancong asing yang ingin mengenali dan belajar bahasa Melayu lebih cenderung mempelajarinya di Indonesia ekoran rakyat Indonesia lebih memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, isu penggunaan bahasa Malaysia di semua sekolah vernakular bagi kepentingan nasional itu disuarakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaaan Sam Tet di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Persa­tuan Penterjemah Malaysia (PPM), Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan berkata, syarat tambahan perlu dibuat kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bagi memastikan para pelajarnya mampu menguasai bahasa Malaysia de­ngan lebih baik.

“Saya menyokong penuh saranan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) agar semua pertubuhan berganding bahu dalam membantu kerajaan memastikan bahasa Malaysia menjadi pembentuk jati diri bangsa.

“Pihak PPM juga bersedia membantu kerajaan bagi menghasilkan buku terjemahan dan membantu pelajar sekolah vernakular menguasai bahasa Melayu tinggi melalui beberapa modul bersama Dewan Bahasa dan Pusaka (DBP),” katanya.