Perdana Menteri berkata, faktor itu merupakan antara perkara terpenting dalam membentuk kesatuan bangsa Malaysia selain daripada sikap saling menghormati serta bantu-membantu antara satu sama lain. 

"Kalau kita saling hormat-menghormati dan bantu-membantu, tentu sekali kepelbagaian antara kita di negara ini tidak langsung menjadi masalah. Dalam keadaan ini, Malaysia memerlukan satu pengikat kepada perpaduan kita.  

"Fasih dalam bahasa kebangsaan, itulah pengikatnya. Kaum Cina contohnya boleh bercakap fasih dalam bahasa kebangsaan, bahasa ibunda dan bahasa Inggeris sementara orang Melayu juga fasih dalam bahasa kebangsaan, Inggeris dan kalau boleh jadikan satu bahasa lagi sebagai bonus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2018 di pekarangan Amanjaya Mall dekat sini, malam ini. 

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Perdana Menteri menambah, Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) yang dianjurkan pada setiap musim perayaan menggambarkan keunikan dan keistimewaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. 

"Apabila saya fikir tentang konsep rumah terbuka ini, ada makna yang lebih besar padanya. Kita bukan sekadar membuka 'rumah' malah hati dan minda kerana di situlah letaknya kunci perpaduan nasional. 

"Kalau hati ini terbuka dan minda pula boleh berfikir dengan rasional, maka tak ada sebab mengapa Malaysia tak mampu menjadi negara yang bersatu padu. Malah kepelbagaian itu merupakan satu punca kekuatan negara," katanya. 

Sementara itu Perdana Menteri berkata, rakyat tidak seharusnya meletakkan kepercayaan kepada pembangkang kerana kebanyakan yang diungkapkan mereka lebih banyak auta berbanding fakta. 

"Jangan sesiapa perlekehkan kita kononnya negara ini akan bankrap. Kalau bankrap, takkan kita boleh perbesarkan  Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan umumkan loji air RM1 bilion untuk Kedah.

"Saya tak dapat 'baca' apa kelebihan tahun ayam, tahun anjing atau tahun-tahun lain dalam kalendar masyarakat Cina. tetapi mengikut ramalan pakar ekonomi, tahun ini Malaysia akan terus maju ekonominya," katanya. - UTUSAN ONLINE