Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

Pengarah Komunikasi Stra­tegik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam berkata, perkara yang turut memberi kesan kepada kenaikan harga bahan api itu ialah pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit pada masa ini.

Beliau berkata, faktor tersebut sekali gus mengakibatkan kos pembelian minyak meningkat dan memberi kesan kepada penetapan harga bahan api di Malaysia.

“Harga bahan api untuk bulan hadapan dikira berdasarkan purata harga dari 1 hingga 31 Disember kemudian dibahagi dengan 31 hari. Bukan ditetapkan berdasarkan harga minyak dunia pada hujung bulan mengikut pemahaman sesetengah pihak.

“Apabila harga pasaran minyak mentah dunia meningkat pada bulan ini, maka penetapan harga runcit bagi bahan api tersebut di pasaran Malaysia juga dijangka meningkat,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Sejak bulan lalu, harga mi­nyak mentah dunia telah melonjak selepas pengeluar minyak mentah utama dunia bersetuju mengurangkan pengeluaran sejak 2001.

Baru-baru ini, harga dagangan hadap­an minyak mentah AS menokok kepada AS$1.33 (RM5.852) untuk ditutup pada AS$52.83 (RM232.452) satu tong, naik 2.6 peratus manakala, brent menokok AS$1.36 (RM5.984) untuk ditutup pada AS$55.69 (RM245.036), naik 2.5 peratus, selepas mencecah paras puncak sesi AS$57.89 (RM254.716), ter­tinggi sejak Julai 2015.

Dalam pada itu, Lokman Noor berkata, sejak 1 Disember 2014 kerajaan telah memutuskan untuk mengapungkan harga mi­nyak mengikut sistem apungan terkawal atau terurus yang menyebabkan tiada lagi pemberian subsidi untuk RON95 dan diesel.

“Subsidi pukal yang diberi sebelum ini bererti orang kaya dan orang miskin menerima nilai subsidi yang sama, contohnya pada bulan Julai 2014, setiap liter RON95 kita memberikan subsidi sebanyak RM0.6843 seliter dan ini bermakna orang kaya dan orang miskin akan menerima nilai subsidi yang sama setiap liter,” katanya.