Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pelajar-pelajar yang terlibat dalam masalah sosial masih merupakan aset terpenting kerana mereka juga mampu untuk menabur bakti kepada negara satu hari nanti.

Namun katanya, perubahan ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuklah syarikat swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC).

“Kita perlu berikan peluang kepada pelajar-pelajar sebegini untuk membina jati diri yang kuat, bawa kesedaran dan pendidikan yang sepatutnya, mereka ini adalah aset dan harta yang tidak ternilai buat negara serta berpotensi untuk menyumbang kepada negara satu masa nanti.

“Jadi diharapkan lebih banyak pihak tampil ke hadapan membantu pelajar-pelajar ini seperti syarikat-syarikat GLC yang boleh memberikan lebih banyak bantuan dan tajaan kerana pelaburan dalam aspek sumber manusia amatlah penting ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Kem Generasi Bijak Mega 2018 di Photon Valley Eco Resort, Hulu Langat, dekat sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE