Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Syed Mokhtar Syed Iddris berkata, pewartaan tersebut dibuat mengikut Sub Seksyen 11(A) Kanun Tanah Negara 1965.

Bagaimanapun, katanya, urusan pendaftaran urus niaga dan bukan urus niaga bagi Pejabat Tanah dan Daerah Bagan Datoh dilaksana di Pejabat Tanah dan Daerah Hilir Perak di sini sehingga bangunan sementara pejabat tersebut boleh digunakan sepenuhnya nanti.

“Sebagai permulaan, kita membuka beberapa kaunter dan menempatkan 30 pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah Bagan Datoh untuk bertugas di sini.

“Kita jangka bangunan sementara Pejabat Daerah Bagan Datoh akan siap dalam September ini atau lewat sedikit akibat proses perpindahan. Apabila siap, kita akan terus berpindah operasi ke sana bagi memudahkan segala urusan penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perjalanan hari pertama urusan pentadbiran Pejabat Tanah dan Daerah Bagan Datoh yang beroperasi sementara waktu di Pejabat Tanah Hilir Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Bagan Datoh yang pertama, Datuk Hamzah Hussin yang dilantik ke jawatan tersebut mulai 16 Jun lalu.

Seramai 10 pelanggan pertama yang berurusan di kaunter Pejabat Tanah dan Daerah Bagan Datoh pagi ini turut diberikan sijil penghargaan oleh pihak berkenaan.

Menurut Syed Mokhtar, empat mukim berada di bawah daerah Bagan Datoh ialah Bagan Datoh, Hutan Melintang, Rungkup dan Teluk Baru melibatkan 46 buah kampung dengan kawasan seluas 94,969.892 hektar.

Katanya, bilangan hak milik yang telah didaftarkan di daerah Bagan Datoh setakat ini berjumlah 28,139 melibatkan 19,136 hak milik Pejabat Tanah dan 9,003 hak milik Pejabat Pendaftar.

“Proses pemindahan hak milik dari daerah Hilir Perak ke daerah Bagan Datoh itu dibuat selama sebulan bermula 16 Jun lalu sehingga semalam melalui Sistem Tanah Berkomputer (SPTB) dan kutipan hasil tanah juga dibuat secara ber­asingan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak.