Menurut laman web rasmi Majlis Raja-Raja, prosiding pemilihan Yang di-Pertuan Agong akan melibatkan proses pe­ngundian oleh sembilan Raja-raja Melayu semasa Persidang­an Maj­lis Raja-Raja.

Pemilihan dilaksanakan secara undi sulit dan kertas undi yang digunakan adalah tidak bernombor serta ditandakan.

Sebaik sahaja keputusan undian diumumkan, kertas undi yang diletakkan di dalam peti akan dimusnahkan dengan cara dibakar atau dirincih (dikerat kecil-kecil).

Turut dinyatakan, Raja yang paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih untuk mengira kertas undi bersama-sama Penyim­pan Mohor Besar Raja-Raja.

 

Raja yang tidak dapat berangkat dalam Majlis Pemilihan itu boleh melantik seorang raja lain sebagai proksi untuk mengundi.

Pemilihan mengikut kekananan pemerintahan tidak lagi diguna pakai selepas pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang kesembilan.

Senarai yang diguna pakai kini dikenali sebagai senarai yang disusun semula berpandukan kekananan negeri yang rajanya telah di­pilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam pusingan pertama penggiliran (pertama hingga kesembilan).

Namun, keputusan akhir pelantikan akan tetap bergantung kepada keputusan undian dan persetujuan Raja yang terpilih.

Difahamkan, Majlis Raja-Raja akan bersidang esok bagi menentukan pengganti Sultan Muhammad V.