Tambahan pula mengikut tradisi pekerjaan dalam keluarga, tiada seorang pun yang terlibat dalam bidang glamor. Jadi mana mungkin Sharifah Husna Syed Feizal dapat menembusi tembok berkenaan.

Rata-rata profesion yang dipegang saudara terdekatnya adalah bidang yang serius. Yang saudara lelaki terlibat dalam bidang guaman dan kejuruteraan manakala perempuan bidang perubatan.

Langsung tiada kaitan dengan dunia lakonan, nyanyian mahu pun pengacaraan. Bagaimanapun pada usia 25 tahun, buat pertama kalinya dia berjaya memecah tradisi pekerjaan dalam keluarganya.

Semuanya selepas anak kelahiran Subang Jaya, Selangor ini diangkat sebagai juara Gadis Panca MyBeauty 2018. Di situlah permulaan kepada perjalanan baharu seorang anak seni dalam keluarga Sharifah Husna.

“Sampai sekarang, sukar nak mempercayai kenyataan yang saya dipilih menjadi juara program ini. Macam bermimpi sahaja sebab gelaran itu yang paling diidam-idamkan buat semua finalis,” katanya.

Sharifah Husna ialah juara musim kedua pencarian Gadis Panca yang berlangsung kelmarin. Program tersebut dianjurkan akhbar paling berpengaruh Mingguan Malaysia menerusi sisipan popularnya, Pancaindera.

Anak sulung daripada empat adik-beradik ini membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, trofi Gadis Panca MyBeauty 2018, pakej percutian ke Balkan tajaan Kembara Sufi Travel & Tours dan kontrak lakonan dengan A. Aida Production.

Pelajaran diutamakan, pelajar perubatan tahun ketiga di Perdana Univresity-Royal College of Surgeons Ireland di Serdang, Selangor ini tetap mengutamakan pengajian walaupun sudah menceburi bidang hiburan.

Misi untuk menggenggam ijazah dalam bidang berkenaan tidak pernah diabaikan. Caranya, dia perlu membahagikan masa dengan bijak antara minat dan pelajaran.

“Tiga minggu menjelang final, saya sibuk menelaah pelajaran untuk peperiksaan akhir semester. Bahkan pada awal pagi hari Jumaat itu, saya ada kertas peperiksaan yang terakhir.

“Cepat-cepat menyudahkan ujian peperiksaan itu, saya terus bergegas ke Dewan Utusan, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad untuk bersiap. Saya bimbang kalau terlambat dan menyusahkan pihak penganjur pula,” katanya.

Menerusi segmen persembahan bakat, Sharifah Husna membawa watak sebagai Puteri Gunung Ledang. Cabaran utamanya, dia perlu bercakap bahasa Melayu lama yang agak sukar untuk gadis kacukan Belanda, Arab dan Pakistan buatnya.