Sebagai juara, pasukan dianggotai kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, medal dan Piala Parlimen Hang Tuah Jaya.

Ketua Bahagian Komunikasi dan Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, Badang MBSA sentiasa menjadi pasukan yang digeruni lawan kerana keperkasaan dan kerjasama sepasukan yang jitu.

Menurutnya, pasukan berkenaan pernah menjuarai beberapa kejohanan lain di Selangor dan luar negeri ini.

”Pasukan ini memenangi kejohanan tarik tali anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Sungai Petani, Majlis Bandaraya Jasin, Majlis Bandaraya Teluk Intan dan pelbagai lagi,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebanyak 16 pasukan menyertai Kejohanan Tarik Tali Terbuka Melaka anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek serta Persatuan Tarik Tali Melaka.

Dalam pada itu, Shahrin menambah, pihaknya amat menggalakkan kakitangannya dari pelbagai peringkat jawatan terlibat secara langsung dalam aktiviti sukan kerana dapat melahirkan warga kerja yang cergas, sihat serta berdisiplin. - UTUSAN ONLINE