Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha tersebut diharap dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan kesedaran dan kepentingan inovasi dan kreativiti kepada masyarakat.

"Justeru itu, kita mengalu-alukan badan korporat untuk bersama dengan kerajaan melalui AIM dalam membudayakan inovasi.

"Program Inovasi Rakyat yang pertama kali diadakan ini antara intervensi kerajaan untuk membantu masyarakat menghadapi revolusi industri keempat melalui kreativiti dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Program Inovasi Rakyat di Dewan Mesra Simunjan hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AIM, Naser Jaafar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris dan ADUN Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo.

AIM memperkenalkan Program Inovasi Rakyat yang merupakan satu pameran pelbagai inisiatif di bawah badan itu iaitu pendidikan, pengkomersilan, keusahawanan dan inovasi sosial.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, program itu juga dilihat dapat membantu menggalakkan pelajar untuk memasuki bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Kita masih kekurangan pelajar dalam STEM, maka menerusi Program Inovasi Rakyat diharap meningkatkan minat pelajar dalam STEM termasuk inovasi dan juga anggota masyarakat terutama luar bandar,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai bas elektrik di Kuching, Nancy memberitahu, pihak tidak mempunyai masalah bagi permintaan kerajaan negeri bagi penggunaan bas berkenaan cuma kosnya lebih tinggi maka perbincangan perlu dibuat semula dengan kerajaan Persekutuan.

"Kita meminta agar stesen pengecas dan pelupusan bateri disediakan bagi kemudahan bas itu nanti.

"Kita berharap ia dapat beroperasi pada November hadapan sama seperti perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan operator-operator bas pada tahun lalu,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE