Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, melalui perkhidmatan Modul e-Review dan Sidang Video, ia membolehkan pengurusan dan perbicaraan kes dikendalikan dengan lebih mudah, cepat dan efisien.

Beliau berkata, peringkat pertama pelaksanaan perkhidmatan itu akan dijalankan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Mahkamah Shah Alam dan Pulau Pinang.

"Modul e-Review yang merupakan modul dalam talian yang membolehkan pengurusan kes dikendalikan tanpa perlu para peguam hadir di mahkamah.

"Dengan modul e-Review ini, pengurusan kes boleh dijalankan dengan lebih cepat, efisien dan dapat menjimatkan masa serta kos pihak-pihak terlibat," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Modul e-Review dan Sidang Video di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah Sarawak Datuk Seri Panglima David Wong Dak Wah dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Sri Ahmad Maarop.

Turut dilancarkan adalah perkhidmatan Sidang Video yang merupakan perkhidmatan yang membolehkan perbicaraan kes dijalankan secara maya walaupun hakim dan peguam berada di lokasi berbeza.

Menurut Vui Keong, buat masa ini, perkhidmatan Sidang Video itu akan diberikan secara percuma selama tiga bulan bermula Mac sehingga Mei ini dan bayaran perkhidmatan akan dikenakan mulai Jun ini.

"Perkhidmatan ini akan timbul masalah teknikal, bagaimanapun ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa," katanya lagi. - UTUSAN ONLINE