Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kajian itu pen­ting kerana walaupun indeks kadar jenayah seluruh kontinjen negeri mencatatkan penurunan setiap tahun, namun persepsi rasa selamat masyarakat masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

Ujarnya, perkara ini jelas apabila perbandingan Jenayah Indeks Per 100,000 Penduduk Se-Malaysia tahun lalu mencatatkan penurunan sebanyak 11.9 peratus iaitu 88,662 kes daripada nilai ambang ditetapkan sebanyak 100,611 kes, namun persepsi rasa selamat masyarakat tidak berubah.

“Kita telah mengarahkan pihak penyelidikan dan pembangunan PDRM dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) be­ker­jasama untuk mengenal pas­ti satu badan bebas yang bertanggungjawab mengkaji tahap persepsi rasa selamat rakyat negara ini.

“Sebelum ini kajian dilakukan secara dalaman PDRM jadi kali ini kita akan menggunakan khidmat badan luar kerana kita tidak mahu wujud tohmahan memanipulasi data, memperbesar-besarkan dan sebagainya.

“Hasil kajian oleh badan bebas itu nanti akan digunakan PDRM untuk mendapat petunjuk sebenar berhubung tahap keyakinan dan rasa selamat rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman anjuran JPJKK, di sini hari ini.

Dalam perhimpunan itu, Mohamad Fuzi turut me­nganugerahkan Pingat Jasa Pah­lawan Negara (PJPN) kepada 47 pegawai dan anggota PDRM sebagai menghargai semangat, pengorbanan dan bakti mereka kepada negara.

Selain itu, Mohamad Fuzi turut memberikan sijil penghargaan kepada tiga anggota yang bertugas di Lebuh Raya Zon Utara, Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang menjayakan operasi membanteras penyeludupan 500 kilogram syabu menggunakan lori kontena di Hentian Taiping, Perak, Sabtu lalu.