Bacaan selawat diketuai pendakwah terkenal Al-Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid itu sebagai tanda kesyukuran untuk melangkah ke tahun baharu 2019.

Walaupun dalam keadaan hujan renyai, orang ramai tidak berganjak menyertai Program Selangor Berselawat 2019 yang dihadiri lebih 1,000 orang bermula pukul 9.30 malam.

Menurut penganjur, Daniyal Mat Jusoh berkata, pihaknya melihat trend masa kini sering menyambut tahun baharu dengan pelbagai cara seperti percikan bunga api dan sebagainya.

"Namun, pada hari ini kita ingin tampilkan kelainan dengan menjemput orang ramai menyertai bacaan selawat dan bacaan doa apabila menjelang pukul 12 malam," katanya di sini malam ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Amirudin Shari ketika berucap berkata, program hari ini perlu dijadikan medium dan platform untuk membawa komuniti warga Selangor hadir untuk sama-sama menyambut ambang 2019 dengan aktiviti yang lebih bermanfaat.

"Hargai persaudaraan sesama kita dan jangan runtuhkannya. Jadilah kita berperanan membangunkan umat Islam," ujarnya. - UTUSAN ONLINE