Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, penempatan itu merupakan satu langkah yang amat baik dengan mengambil kira bahawa lokasi tersebut adalah kawasan hartanah yang bernilai amat tinggi.

Menurutnya, langkah itu berbeza dengan pendekatan sebelum ini yang menyasarkan pembangunan untuk perumahan mampu milik melibatkan golongan B40 dan M40 di kawasan luar dan pinggiran bandar.

“Naratif baharu yang diketengahkan oleh kerajaan kini adalah untuk memastikan golongan B40, bawah M40 dan golongan berpendapatan rendah tidak didiskriminasikan secara ekonomi dengan meletakkan tempat tinggal mereka hanya di kawasan yang jauh dari pembangunan dan juga tidak mempunyai fasiliti yang secukupnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan semalam memutuskan untuk memulihkan semula projek Bandar Malaysia yang dihentikan sebelum ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusan tersebut dibuat sebagai langkah meningkatkan pembangunan dan pelaburan di negara ini.

Dalam pada itu, Zuraida menambah, pihak kementerian mempunyai perancangan untuk memperkasakan golongan berpendapatan rendah di dalam bandar dengan menyediakan fasiliti, dasar dan polisi tertentu terutamanya dari aspek pemilikan dan penyewaan kediaman.

Antara inisiatif yang sedang dalam perancangan jelasnya, adalah penyediaan rumah transit sewaan untuk golongan belia yang telah berkeluarga.

“Terdapat keperluan yang amat tinggi untuk mereka dapat tinggal di kediaman yang selesa dan sesuai untuk perkembangan keluarga muda,” katanya.

Melihat senario semasa, tambahnya, kementerian juga sedang mengkaji beberapa inisiatif lain seperti rekaan rumah untuk pasangan yang belum mempunyai anak, skim pembiayaan pemilikan kediaman untuk mereka yang sedang menyewa di rumah transit serta kemudahan awam yang bertaraf tinggi di kawasan-kawasan perumahan mampu milik di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, pembangunan Bandar Malaysia dan inisiatif perumahan mampu milik kawasan bandar turut akan dapat mengurangkan kos pengangkutan golongan berpendapatan rendah yang bekerja di bandar.

“Setiap pelan pembangunan terutamanya dalam pembinaan kediaman perlu bersifat holistik dengan mengambil kira perkembangan komuniti, supaya perancangan yang ingin dilaksanakan tanpa mengenepikan mana-mana golongan masyarakat.

“Kementerian yakin bahawa dengan mengambil kira aspirasi golongan B40 dan bawah M40 ini, Malaysia akan dapat mengecapi pembangunan perumahan yang mampan dan juga menyeluruh,” katanya. - UTUSAN ONLINE