Menurut Aznil yang lebih mesra disapa sebagai Pak Nil, beliau kini dilantik sebagai ikon Sekolah Jalinan Kasih, Tokoh Ikon Bahasa dari Dewan Bahasa dan Pustaka serta yang terbaharu sebagai Duta Alumni daripada Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM).

Kesemua pelantikan itu diterima dengan tanggungjawab untuk membantu dan memberi inspirasi dan motivasi dan bukan kerana wang ringgit.

“Saya tidak pernah meminta sebarang bayaran malah tidak ada nilai duit yang terselit dalam setiap pelantikan.

“Setiap tawaran lantikan itu saya terima sebagai simbolik penghargaan. Saya sudah bekerja keras untuk duit dan ini adalah masa untuk saya kembalikan pengalaman saya pada mereka yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Menerusi lantikan Duta Alumni UM yang baru diterima, Pak Nil yang juga lulusan universiti tertua negara itu menyatakan kesediannya membantu membina jati diri anak-anak kelahiran UM.

Baginya, seorang graduan itu tidak perlu lulus cemerlang di atas kertas sahaja, tetapi perlu mempunyai nilai insan yang tinggi.

Ditanya mengenai tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan pihak tertentu, jelas Pak Nil, dia gembira kerana pada usia 55 tahun, masih banyak kerja yang perlu dilunaskan.

“Mungkin bagi sesetengah orang usia seperti saya ini sudah berfikir mengenai persaraan. Tetapi, banyak peluang dan tanggungjawab yang menganggap saya masih relevan.

“Insya-Allah, dengan tahap kesihatan yang baik, saya akan teruskan dan cuba kongsikan apa yang ada untuk kebaikan bersama semua,” jelas.