Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau sendiri menghantar SMS berkenaan dan sedikit pelik mengapa Mohamed Azmin tidak membalasnya, kerana selalunya Timbalan Presiden PKR tersebut mudah menjawab sebarang pertanyaan.

“Biasanya, MB (Menteri Besar) sangat mudah membalas SMS, tapi beliau tidak memberi apa-apa jawapan sehingga hari ini. MB juga ada bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua (Razaly Hassan) dan beliau menyatakan ada menerima SMS saya,” katanya.

Sallehen berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penyerahan bantuan kewangan kepada pesawah yang diserang penyakit Hawar Daun Bakteria (BLB) di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib.

Mengulas lanjut, Sallehen yang juga Adun Sabak berkata, beliau ada menghuhungi Setiausaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei untuk mengatur pertemuan bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Shuhaimi beritahu beliau akan atur pertemuan itu, tapi sampai sekarang Menteri Besar belum ada masa untuk jumpa saya. Kalau beliau ada masa, tentunya saya pada bila-bila masa akan datang sendiri dan boleh tinggalkan urusan lain untuk berjumpa beliau di sana,” katanya sinis.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan telah merujuk perkara itu kepada pegawai daerah sepertimana diarahkan Mohamed Azmin sebelum ini tetapi jawapan yang diterima ialah saya mesti jumpa Menteri Besar.

Kepada soalan apakah peruntukan ADUN Pakatan Harapan Selangor sudah diperolehi, Sallehen menjelaskan, beliau difahamkan hanya wakil rakyat Pas masih belum menerima peruntukan terbabit.

“Saya tak pasti tapi lazimnya, mereka dapatlah...sebab itu geng (sekutu) mereka.

“Saya tak tahu, sama ada tidak dapat peruntukan itu kerana duit belum turun ke daerah atau pun memang tidak diturunkan, tapi lazimnya kalau bulan Februari duit dah turun ke pejabat daerah,” katanya.

MOHD. HUSSAIRY SIDEK