Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan penangguhan itu dibuat selepas pihaknya melihat keadaan ekonomi semasa negara yang tidak memungkinkan untuk meneruskan projek tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut perkara itu dan hanya menjelaskan tempoh penangguhan yang dipersetujui adalah munasabah.

Menurutnya, projek HSR memberikan kebaikan kepada kedua-dua negara supaya ada satu jaringan yang lebih kuat dan dapat menjana pertumbuhan ekonomi untuk satu tempoh yang panjang, namun buat masa ini kerajaan tidak mampu meneruskannya.

“Hasil perbincangan, Malaysia dan Singapura telah mencapai kata muafakat bagaimana kita dapat menyelesaikan pertindihan projek ini. Singapura bersetuju dengan menerima pandangan kerajaan Malaysia untuk menangguhkan perlaksanaan projek ini sehingga ke satu tempoh yang munasabah.

“Malah, tiada pampasan yang perlu dibayar dalam tempoh penangguhan projek ini dan ia hanya dibayar sekiranya di akhir tempoh penangguhan kita membatalkan projek tersebut,” katanya kepada pemberita di lobi Bangunan Annex di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Mohamed Azmin membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Singapura selain bertemu Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan untuk mencapai kata sepakat mengenai projek HSR.