Anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan bertemakan 'Pekerja Berkemahiran Penggerak Ekonomi' di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Azmi yang telah berkhidmat lebih daripada 25 tahun dalam industri pengangkutan awam berkata pengiktirafan itu akan menguatkan lagi semangatnya untuk memperhebatkan usaha dan meningkatkan tahap perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

"Saya melihat anugerah ini sebagai pengiktirafan kepada Prasarana secara keseluruhan.

"Saya menerima anugerah ini bagi pihak rakan-rakan sekerja saya dan ia adalah satu pengiktirafan ke atas usaha kami dalam meningkatkan keselesaan orang ramai ketika menggunakan pengangkutan awam," katanya kepada pemberita selepas sambutan itu di sini.

Beliau berkata anugerah itu mengesahkan Prasarana yang diterajui sejak Januari tahun lepas berada di landasan yang betul.

Azmi berkata Prasarana sentiasa bekerja rapat dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi memperkasakan tenaga mahir di bidang pengangkutan awam.

Kepimpinan beliau diakui apabila Prasarana dilantik oleh JPK sebagai badan peneraju industri untuk sektor pengangkutan 'Greater KL' serta projek lain seperti Projek Usahasama Transit Ringan Automatik Sdn Bhd, Rapid KL Sdn Bhd, dan Scomi Engineering.

Katanya, sehingga kini lebih 1,500 kakitangan Prasarana telah memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia menerusi pelaksanaan program Sistem Latihan Dual Nasional dan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu selain membantu membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan bagi sejumlah 19 bidang pekerjaan.-BERNAMA