Azizulhasni yang muncul sebagai juara keirin dunia di Hong Kong tahun lalu dan meraih dua pingat emas di Sukan SEA 29 di Kuala Lumpur diumumkan sebagai penerima setelah mengatasi empat calon lain iaitu Khairul Anuar Mohamad (memanah), Faizal Saari (hoki), Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (skuasy) dan Mohd Ali Yaakub (muaythai).

Fatehah pula yang memenangi empat pingat emas Sukan SEA ke-29 menewaskan Nur Aliya Ghapar (memanah), Azizatul Asma Abdullah (endurance), Siti Rahmah Mohamed Nasir  (pencak silat) dan Alia Sazana Azahari (menembak).

Bagaimanapun kedua-dua atlet tersebut tidak hadir pada majlis yang diadakan penuh gemilang itu kerana sedang menyertai Sukan Komanwel di Gold Coast Australia, dan mereka diwakili oleh ibu masing-masing.

Dengan kemenangan itu, kedua-dua atlet tmasing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000, piala pusingan, piala iringan, sijil kepujian dan sepasang blazer manakala persatuan yang diwakili menrima RM2,000.

Hadiah disampaikan Meteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.

Sementara itu, dua atlet petanqueu, Syed Akmal Syed Fikri Syed Ali dan Nur Iman Aina Ahmad Sabti pula diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Harapan sekali gus meraih wang tunai RM2,500 serta piala pusingan, piala iringan, sijil kepujian dan sumbangan RM1,000 kepada persatuan diwakili.

Anugerah Olahragawan Paralimpik dan Olahragawati Paralimpik pula disandang oleh dua atlet berbasikal, Zuhairie Ahmad Tarmizi dan Nur Shahida Tajudin. Kedua-duanya menerima hadiah wang tunai RM3,000 beserta piala iringan dan sijil kepujian.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail pula dipilih sebagai Tokoh Sukan Negeri di atas sumbangan dan sumber inspirasi pembangunan dan perkembangan sukan negeri secara berterusan terutama dalam bidang sukan lawn bowls dan bola sepak.

Anugerah Paukan Terbaik Lelaki dimenangi Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) yang berjaya memenangi tiga daripada empat peringkat pertandingan termasuk salah seorang pelumbanya Artem Ovechkin dari Rusia berjaya meraih jersi kuning selaku pelumba terbaik keseluruhan di Le Tour De Filipinas’ baru-baru ini.

Turut menerima hadiah ialah Terengganu Hockey Ladies Team (THLT) yang memenangi Anugerah Pasukan Terbaik Wanita memenangi dua piala iaitu Piala Liga dan Piala Vivian Soar di Liga Hoki Wanita MHL-TNB 2017.-UTUSAN ONLINE