Aziz atau nama penuhnya Abdul Aziz Desa, 50, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Langkawi di sini hari ini akibat komplikasi diabetes dan buah pinggang.

Allahyarham yang meninggal dunia kira-kira pukul 10.50 pagi itu meninggalkan seorang isteri, dan enam cahaya mata berusia antara 13 hingga 22 tahun.

Raden Norazlina berkata, mereka sekeluarga baru pulang bercuti dari Phuket petang semalam dan Allahyarham berada dalam kea­daan baik.

“Sebaik tiba, Allahyarham mahu tidur di atas katil dengan ditemani anak di ruang tamu, manakala saya di dalam bilik di belakang dan pemergiannya di­sedari apabila dia se­nyap dan tidak bergerak.

“Melihat keadaan tersebut saya memang­gil ambulans dan setelah memeriksa keadaannya, mereka mengesahkan dia me­ninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi, Allahyarham dipercayai me­ninggal dunia sekitar pukul 7 hingga ke 10 pagi,” kata­nya ketika dihubungi di sini.

Selain pernah menjadi wartawan akhbar Berita Harian, TV3 dan TV9, Allahyarham juga pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid.

Aziz pernah mengendalikan program bual bicara popular se­perti Malaysia Hari Ini di TV3 dan Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Raden Norazlina berkata, tiada pesanan kata-kata terakhir yang sempat dirakam olehnya memandangkan Allahyarham pergi meninggalkan mereka sekeluarga dalam keadaan begitu sahaja.

Namun, jelasnya, mereka reda dengan apa yang berlaku memandangkan mereka sekeluarga bersedia menerima sebarang ujian jika dilihat kepada keadaan kesihatan Allahyarham sebelum ini.

“Allahyarham sebelum ini akan mengikut kami sekeluarga kalau ke mana-mana, memandangkan keadaan kesihatannya itu dia terpaksa menggunakan kerusi roda,” katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di kampung kelahirannya di Kampung Bayas, Langkawi di sini selepas solat Asar.