Menurut sumber, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi akan diminta hadir ke pejabat SPRM Perak hari ini atau esok bagi dirakam percakapan berhubung isu tersebut.

“SPRM telah menerima laporan dari orang awam berhubung isu rasuah bagi menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka dan SPRM akan memulakan siasatan dengan mengambil keterangan Abdul Aziz,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Semalam, dalam sesi penggulungan perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad mendakwa Naib Pengerusi DAP Perak itu telah bertemu dengan lima orang ADUN UMNO bagi menarik empat lagi sokongan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.

Saarani mendakwa, pertemuan itu telah dilakukan di beberapa lokasi di dalam dan luar negeri berkenaan, antara 2 November hingga 1 Disember lalu dan beliau mengaku mempunyai kesemua akuan bersumpah mengenainya. - UTUSAN ONLINE