Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan yang memaklumkan bahawa pelantikan itu berdasarkan pengalaman luas Azhar dalam sektor korporat. 


“Saya yakin dengan pengalaman luas yang dimilikinya, beliau akan dapat menerajui FGV dengan cemerlang, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dan seterusnya dapat diterjemahkan dengan harga saham FGV yang lebih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Najib berkata sebagai sebuah syarikat tersenarai, dengan pegangan majoriti oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), kejayaan FGV sangat penting untuk manfaat warga peneroka FELDA.


“Oleh itu, selaras dengan kuasa yang diperuntukan di bawah Hak Pemegang Saham Khas menerusi Artikel (80)1 Memorandum dan Articles of Association FGV, saya mengumumkan Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi FGV yang baharu berkuatkuasa 8 September 2017 (hari ini),” katanya.


Sebelum ini, Azhar juga pernah berkhidmat sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, Pengerusi Tradewinds Corporation Bhd.