Safina berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang sedemikian yang entah bila lagi dapat dilaluinya pada masa depan, tambahan pula telah mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga.

“Ini merupakan kali pertama saya mengikuti misi sebegini di luar negara dan saya bangga dan terharu mendapat peluang ini kerana dapat melihat sendiri kepayahan yang ditempuhi etnik Rohingya yang ditindas akibat pertelingkahan yang melanda kawasan mereka.

“Bagi saya, misi seperti ini harus diteruskan dan usaha ini perlu mendapat perhatian dunia kerana sehingga kini, etnik ini terus diancam sehingga dibunuh dan dibakar serta di­seksa di negara sendiri,” katanya di sini hari ini.

Turut membuat liputan di Myanmar ialah jurufoto Utusan Malaysia, Hafiz Johari, 32.

Dalam pada itu, Safina memberitahu, cabaran yang harus ditempuhinya sepanjang misi adalah keadaan cuaca dan mabuk laut kerana tidak biasa dengan suasana di atas kapal serta masalah isyarat tele­komunikasi yang terhad.

“Apa yang saya mahu lakukan adalah terus menulis dan menyebarkan kebenaran agar ada insan atau negara lain yang prihatin untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Hafiz berkata, dia sememangnya bertuah kerana terpilih untuk menyertai misi tersebut kerana menjadi tanggungjawabnya untuk menghasilkan gambar yang mampu menceritakan keadaan sebenar kekejaman yang berlaku ke atas etnik Rohingya.