Ketua Pegawai Korporat Kumpulan Axiata, Mohamad Id­ham Na­wawi berkata, Axiata menya­sarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya lima buah syarikat berasaskan digital yang mampu menjadi jaguh di arena digital antarabangsa dan serantau menerusi dana berkenaan.

Katanya, menerusi ADIF, sya­rikat-syarikat yang me­ne­rima pelabu­ran dapat me­man­­faatkan rangkaian luas yang dimiliki Axiata untuk mengembangkan perniagaan mereka ke-10 buah negara antaranya Malaysia, Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh, Kemboja dan Nepal. Malah syarikat dapat menerima bimbingan berterusan daripada Axiata dan Mavcap.

Idham berkata, setakat ini Axia­ta telah meluluskan pelaburan le­bih RM22 juta daripada dana tersebut melibatkan 10 buah syarikat tempatan termasuk empat milik bumiputera.

“Misi kami adalah untuk menjayakan idea-idea yang dimiliki syarikat yang rata-ratanya dijalankan oleh anak-anak muda supaya boleh dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.

“Ia juga adalah sebagai menyokong matlamat kerajaan untuk memperkasakan ekonomi digital di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Mavcap, Jamaludin Bujang.

Axiata dan Mavcap menubuhkan ADIF dengan dana bernilai RM100 juta sebagai modal bagi membantu syarikat teknologi tem­patan, dengan 70 peratus daripadanya disasarkan kepada syarikat bumiputera.

Dana modal teroka digital itu adalah yang terbesar bersama syarikat korporat pernah dibentuk, bermatlamat menggalak dan merangsang inovasi serta pertumbuhan ekosistem digital di Malaysia.

Bagi fasa pertama, Axiata menyuntik RM50 juta ke dalam dana berkenaan dan Mavcap melabur sebanyak RM20 juta, manakala dalam fasa kedua sebanyak RM30 juta akan dijana pelabur lain yang sedang dikenal pasti.

Sementara itu Jamaludin berkata, sebanyak 261 peluang pekerjaan dapat dihasilkan menerusi ADIF dan pihaknya yakin angka tersebut akan lebih bertambah pada masa hadapan.

“Kami akan terus me­nge­nal pasti syarikat-sya­rikat dengan idea dan produk menarik untuk menerima pelaburan da­ripada ADIF dan ka­mi meletakkan sa­sa­ran sebanyak lima buah syarikat pada 2017,” katanya.

Dana Inovasi
Digital Axiata (ADIF) bernilai RM100 juta; 
kerjasama dana inovasi korporat digital terbesar
di Malaysia.

- Lebih RM22 
juta pelaburan 
diluluskan 
melibatkan 10 buah 
syarikat.

- Sektor terlibat:

*e-dagang

*perkhidmatan 
berasaskan lokasi

*analisis data besar

*IOT

-  Objektif utama 
meningkatkan
penyertaan bumiputera dalam bidang teknologi 
domestik, membentuk sekurang kurangnya 
5 syarikat digital 
serantau berpangkalan 
di Malaysia.