AWIE
AWIE

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman yang pernah menjadi mangsa berita palsu berkata, beliau suatu ketika dahulu terpaksa melalui ‘mimpi ngeri’ apabila didakwa telah meninggal dunia sehingga menyebabkan dunia hiburan bergegar seketika, lebih pahit keluarganya turut terkena tempias tersebut.

“Misalnya, saya sendiri pernah didakwa meninggal dunia lebih dari 10 kali dalam internet sehingga mengundang kerisauan semua pihak termasuk menerima panggilan te­lefon dan mesej daripada keluarga, saudara mara dan rakan-rakan bertanyakan keadaan saya. Apa jenis manusia yang sanggup melakukan sehingga ke peringkat itu.

“Saya dan keluarga saya sangat terkesan dengan insiden itu sehinggakan semua risau dan mengganggu proses kerja mereka. Kali pertama, kedua dan ketiga boleh diabaikan tetapi apabila berkali-kali sampai ada sesetengah individu yang tidak pasti sama ada berita kematian palsu saya itu sah atau tidak, juga bertindak menyebarkannya.

“Selain itu, saya juga pernah menjadi mangsa politik apabila gambar baju saya dijadikan bahan untuk mencetuskan kontroversi. Apa yang berlaku itu tanpa penge­tahuan saya sehingga saya dimaklumkan oleh rakan-rakan daripada kementerian. Fikirlah, saya tidak tergamak mahu melakukan perbuatan seperti itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji satu undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu di negara ini. Beliau bagaimanapun berkata, undang-undang baharu tersebut bukan bererti kerajaan mahu mengawal sepenuhnya internet.

Dalam pada itu, Awie berpandangan, tindakan penyebaran berita palsu boleh menjejaskan reputasi pelbagai pihak termasuk dalam industri hiburan.

“Biasalah, dalam hal ini ada yang baik dan ada yang buruk, ada yang suka dan ada yang tidak suka, ada yang mahu menjatuhkan seseorang dan ada yang hendak membangunkan juga.

“Namun, kalau ada berita-berita yang membabitkan maruah individu sehingga boleh merosakkan akidah seseorang mahupun membabitkan kematian, maruah atau menjejaskan rumah tangga maka bagi saya perkara ini perlu dipandang serius serta wajib diambil tindakan,” katanya.