Satu sumber mendakwa, walaupun menggunakan nama ASWJ tetapi mereka agak agresif dalam beberapa perkara mengenai Islam termasuk sanggup mengkafirkan sesama umat Islam.

“Umumnya mereka menyatakan misi golongan itu adalah untuk memartabatkan institusi Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia dan bekerjasama dengan semua pihak bagi membasmi penyelewengan akidah serta pemikiran sempit tetapi tindak tanduk mereka agak agresif sehingga boleh memecah belahkan umat Islam,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.

Sumber itu menjelaskan, berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), salah seorang tokoh kumpulan itu yang berasal dari Yemen mendakwa keturunan Rasulullah SAW daripada Saidina Ali Abi Talib cen­derung kepada fahaman Syiah walaupun tidak mengaku pengikut mazhab tersebut.

“Pengikut-pengikut beliau lantang menuduh banyak tokoh Islam sebagai sesat dan sanggup melabelkan mereka sebagai wa­hhabi sehingga sampai pada tahap mengkafirkan mereka,” kata sumber itu.

Sumber tersebut menjelaskan, kelompok ini mendakwa mereka sahaja yang benar dan mengelarkan mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah serta memandang buruk mana-mana pihak yang tidak mengikut rentak dan nada mereka termasuklah jabatan-jabatan agama Islam di negara ini.

“Perkara seumpama tidak boleh dibiarkan kerana lama kelamaan ia akan menyebabkan berlakunya pertelingkahan antara mereka dan golongan yang tidak sehaluan sehingga mampu menimbulkan rasa marah, benci dan dendam yang akhirnya akan membawa kepada ekstremisme dan pergaduhan.

“Jika keadaan itu berlaku ia akan mewujudkan huru-hara, sekali gus menggugat keamanan serta keselamatan negara seperti mana terjadi di Syria, Pakistan, Yemen dan lain-lain - yang semua berlaku atas nama Islam,” kata­nya.

Sehubungan itu, sumber tersebut berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap kelompok yang mengaku ASWJ tetapi melakukan perbuatan bertentangan dengan manhaj dan akidah fahaman tersebut.

“Selain itu, sudah tiba masanya kerajaan menyekat penceramah-penceramah luar dari Yemen dan Indonesia yang bergelar habib dan lain-lain yang jelas membawa ajaran bertentangan dengan ASWJ,” tegasnya.