LEE LAM THYE

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penggunaan alat digital itu secara berlebihan juga boleh mengundang masalah kepada pengguna dari aspek kesihatan dan ekonomi.

Menurutnya, kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga mendedahkan, penggunaan gajet secara berlebihan boleh mendatangkan pelbagai masalah termasuk menyebabkan pengguna memerlukan ra­watan terapi.

“Masalah ini tidak berlaku dalam masa singkat, ibu bapa tidak boleh mengambil mudah. Jika tidak mahu perkara tidak diingini berlaku, awasi anak-anak jika tidak mahu mereka menghadapi masalah dan implikasi meluas.

“Sekiranya masalah dinyatakan itu berlaku, sudah tentu memerlukan perbelanjaan kos misalnya perubatan dan rawatan terapi yang dinyatakan dalam kajian UKM itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis prapelancaran Persidangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Cosh) Ke-21 serta Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Sci-Cosh) Kelima di sini, hari ini.

Menurut Lam Thye, pihaknya juga boleh menggandakan usaha ke arah memperbanyakkan kajian terutama mengenai impak dan masalah yang boleh muncul akibat penggunaan gajet terbabit dari sudut ekonomi.

“Kajian ini boleh dijalankan secara mendalam oleh pakar Pusat Kecemerlangan Ergonomik NIOSH dan hasilnya boleh dianalisis dan dirumuskan untuk dihebahkan kepada masyarakat,” katanya.

Mengulas mengenai majlis prapelancaran hari ini, Lam Thye berkata, Cosh akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 24 dan 25 September ini dengan tema Meningkatkan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dalam Era Digital Baharu.

“Program Sci-Cosh pula berlangsung pada 28 dan 29 November ini di Hotel Le Meridien, Putrajaya dengan tumpuan kepada penyelidikan saintifik terkini mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk berkaitan Revolusi Industri 4.0,” katanya.