Kini di Kelantan, penduduk di pesisir Pantai Pulau Kundur cemas apabila ombak besar yang berpunca daripada tempias ribut tropika Pabuk membadai kediaman mereka bermula tengah malam tadi. Malah mengikut ramalan Jabatan Meteorologi, ribut siklon tropika dijangka melanda pesisir pantai Kelantan dengan kelajuan angin 20 hingga 30 batu sejam.

Berikut adalah temu bual wartawan Mingguan Malaysia, SAJIDA ASARULAH KHAN bersama pakar di Pusat Kawalan dan Persediaan Bencana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, DR. KHAMARRUL AZAHARI RAZAK berkaitan dengan siklon tropika yang sebenarnya.

UTUSAN: Apa siklon tropika dalam bahasa mudah? Adakah dalam kategori ribut taufan dan bagaimana masyarakat boleh mengenalinya.

KHAMARRUL AZAHARI: Sik­lon tropika agak kompleks untuk dijelaskan secara saintifik dan teknikal. Dalam bahasa mudah adalah ribut ganas yang berputar dan berdiameter yang boleh mencecah beberapa ratus kilometer yang terbentuk di perairan tropika.

Taufan atau siklon tropika merupakan ribut akibat haba yang dilepaskan apabila udara panas naik dan wap udara di dalamnya meluwap. Dinamakan siklon tropika kerana serupa siklon dan terjadi di tropika, putarannya melawan jam di hemisfera utara serta mengikut arah jam di hemisfera selatan.

Bagaimana ia terjadi?

Siklon tropika boleh terbentuk di kawasan lautan yang suhu permukaannya 26 darjah Celsius atau lebih. Di rantau Asia ia lebih dikenali sebagai taufan dan terbentuk semasa musim panas hemisfera utara yang mana suhu di Lautan Pa­sifik adalah panas dan sesuai untuk aktiviti perolakan.

Kebiasaannya terjadi di mana, kawasan dan negeri. Bila ia biasa berlaku?

Di Malaysia kebiasaannya akan menerima kesan semasa perjalanan taufan yang melintasi Filipina menuju Laut China Selatan. Kesan dalam bentuk angin kencang dan hujan ribut yang kerap melanda Sabah. Kadangkala taufan yang berada di sekitar pantai Vietnam juga memberikan kesan yang sama kepada negeri-ne­geri di barat laut Semenanjung Malaysia.

Apa ancaman siklon tropika kepada rakyat dan apa langkah keselamatan yang perlu diambil?

Taufan yang kuat dan perairan yang cetek akan menghasilkan luruan yang lebih tinggi, yang mana memberi kesan buruk termasuk mengancam nyawa serta boleh mengakibatkan kerosakan harta benda terutamanya di kawasan pantai.

Lokasi-lokasi lain yang diramalkan boleh terkena ancaman siklon tersebut.

Di Chubaso, Filipina serta Willy Willies, Australia.