Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan sebanyak 3,454 kes pokok tumbang dilaporkan dari Januari hingga Oktober tahun ini dengan purata 298 kes sebulan.
Kekurangan penyelenggaraan pokok besar dan tua boleh mengundang maut kepada pengguna seperti tragedi menimpa sepasang suami isteri yang dihempap pokok besar berusia 130 tahun di hadapan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan terdapat antara empat hingga enam episod hujan lebat akan berlaku sepanjang perubahan angin tersebut yang berlarutan sehingga Mac tahun hadapan.
Ikuti laporan Wartawan Mingguan Malaysia, NAZWIN NAZRI berhubung isu berkenaan dan reaksi Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), DATUK DR. ABD LATIF MAHMOD.

 

KUALA LUMPUR 24 Nov.  -  Landskap yang dihiasi pokok besar dan tua bukan sahaja cantik malah memberi manfaat kepada ekosistem terutama yang direka khusus untuk kawasan bandar dan ditanam di tepi-tepi jalan utama.

Namun, keindahan itu boleh menjadi punca tragedi menyayat hati seperti yang berlaku awal Mac lalu apabila sepasang suami isteri dihempap pokok besar berusia 130 tahun di hadapan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ekoran kejadian itu, pemeriksaan lanjut oleh pakar pokok seperti ahli arboris perlu dilakukan secara berkala supaya tahap risiko bahaya dapat ditentukan.

Malah, langkah tersebut juga dilihat dapat menyumbang kepada persekitaran kondusif dan selamat kepada masyarakat sekeliling berikutan pembangunan yang pesat termasuk pembinaan infrastruktur serta pelebaran jalan boleh memberi tekanan kepada pokok-pokok besar yang tua.

Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod, pokok besar atau tua yang ditanam di kawasan bandar dan tepi jalan utama adalah di bawah pengurusan serta pemantauan pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala pokok-pokok pinggiran jalan di­selenggara agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Le­buhraya Malaysia (LLM) dan pihak konsesi lebuh raya.

Katanya, FRIM tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan, penyelenggaraan dan pemantauan harian pokok-pokok di kawasan PBT, namun boleh memberikan khidmat nasihat teknikal dan perundingan sekiranya diperlukan.

“Langkah tersebut meliputi input teknikal dalam menghasilkan polisi, garis panduan dan standard ke arah meningkatkan kualiti serta profesionalisme dalam pengurusan pokok-pokok bandar di Malaysia,” katanya.

Ini kerana, kata Abd. Latif, kacau ganggu yang berlaku akibat pembangunan boleh menyebabkan akar pokok dipotong sekali gus merosakkan struktur pokok serta menjejaskan kekuatan setiap bahagiannya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, pemeriksaan secara visual menerusi peralatan seperti Picus Sonic Tomograph boleh menentukan tahap ‘defect’ pokok dan risikonya.