Keputusan itu dicapai selepas ahli-ahli Dewan bersetuju terhadap Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 bagi memansuhkan peruntukan Seksyen 15(2)(c) AUKU 1971 berhubung larangan ke atas pelajar universiti terlibat dalam parti politik di kampus.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pemansuhan itu juga sebagai menterjemahkan janji Pakatan Harapan (PH) untuk menjadikan institusi pendidikan tinggi negara lebih bebas.

"Ini boleh menghapuskan budaya ketakutan dalam kalangan mahasiswa untuk berpolitik.

"Bagaimanapun kebebasan ini datang bersama tanggungjawab," katanya ketika menggulungkan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 di Dewan Rakyat, malam ini.

Pindaan itu bagaimanapun hanya menyentuh kepada bahagian yang menghalang mahasiswa berpolitik, bukannya memansuhkan keseluruhan AUKU.

Dewan Rakyat juga dijangka meluluskan pindaan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 bagi melengkapkan usaha memansuhkan halangan mahasiswa terlibat aktiviti politik dalam kampus.

Kali terakhir ketiga-tiga akta tersebut dipinda adalah pada tahun 2012, namun pindaan itu sekadar membenarkan mahasiswa terlibat dalam apa jua persatuan, badan atau kumpulan termasuk parti politik ketika di luar kampus.

Dr. Maszlee pada masa sama menjelaskan kebebasan berpolitik tidak semestinya menyebabkan prestasi akademik seseorang mahasiswa itu terjejas dan meminta ahli-ahli politik sendiri mengutamakan pendidikan setiap mahasiswa.

Kementerian Pendidikan sebelum ini menjangkakan pemansuhan atau pindaan AUKU secara menyeluruh akan dapat diselesaikan pada tahun 2020. - UTUSAN ONLINE