Katanya, ATM hanya bertanggungjawab memperkukuh kawalan sempadan negara dan negeri, namun tidak mempunyai kuasa menahan mana-mana penjenayah rentas sempadan, kerana kuasa serta peranan itu diletakkan kepada agensi keselamatan lain.


"Setiap jentera kerajaan dianggotai pelbagai agensi dengan peranan dan tanggungjawab berbeza. Fungsi tentera bergantung kepada punca kuasa diberikan kepada pasukan.


"Tentera hanya memberi bantuan dalam operasi membanteras jenayah rentas sempadan tetapi tiada kuasa (menahan atau memberkas penjenayah), namun, kita berharap dengan kehadiran tentera, pihak yang ingin melakukan jenayah itu tidak akan melakukannya," katanya kepada pemberita, hari ini.


Terdahulu, Ahmad Hasbullah menghadiri taklimat diberikan Pegawai Pemerintah Batalion Ketujuh, Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Burhan Sagoni di Markas Taktikal Pos Keningau, di sini.


Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Hasbullah berkata kekuatan anggota tentera di pos kawalan sedia ada, khususnya di kawasan berisiko laluan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk Tawau, Kalabakan dan Keningau adalah mencukupi.


Beliau berkata ATM akan sentiasa mengambil perhatian mengenai apa sahaja cadangan bagi memperkasa pos kawalan tersebut, selain akan turut menjalankan kajian menyeluruh dengan merekodkan laluan itu sebagai terowong PATI.


Ahmad Hasbullah turut memberi jaminan keselamatan rakyat Sabah dengan memastikan kawalan sempadan negeri terus diperketat.


Mengenai Markas Taktikal Pos Keningau, Ahmad Hasbullah berkata, markas dengan kekuatan lima pegawai dan 63 anggota pelbagai pangkat itu masih lagi relevan untuk dikekalkan.


Bagaimanapun, pihaknya akan mengatur gerakan anggota mengikut perbincangan sekiranya wujud keperluan mengisi mana-mana kekosongan termasuk melihat daripada segi aktiviti rondaan dan kawalan kawasan, katanya.


Markas Taktikal Pos Keningau diwujudkan pada 17 Julai 2012. - BERNAMA