Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, prinsip tersebut penting bagi menjaga kedaulatan negara dengan memberi ketaatan sepenuhnya berdasarkan salah satu teras Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.

Kata beliau, sekiranya prinsip tersebut tidak dipegang teguh, perkara itu boleh mencetuskan konflik dan berlaku salah guna kuasa serta akan mengakibatkan kucar-kacir dalam negara.

“Warga ATM perlu sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada agama, bangsa dan negara demi kemakmuran semua.

“Analogi perajurit dan negara akan terus diberi penekanan dan menjadi sumber kekuatan utama ATM kerana ia berkait rapat tentang warganya yang berjiwa besar,” katanya semasa berucap dalam majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun ATM Ke-85 di Pangkalan Udara Subang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abdul Manaf; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi; Pang­lima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Seramai 45 pegawai dan 1,163 anggota lain-lain pangkat yang terdiri daripada 10 kontinjen membabitkan ketiga-tiga perkhidmatan darat, laut dan udara mengambil bahagian dalam perbarisan tersebut.

Perbarisan diketuai Leftenan Kolonel Mohd. Norazan Othman daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu turut diserikan dengan peragaan sebahagian aset ATM antaranya pesawat Airbus A-400 M, C-130 Hercules, helikopter Black Hawk, kereta kebal Pendekar, kereta perisai Adnan, meriam 155MM, kenderaan Lipan Bara, kereta perisai Condor, Vamtac Igla dan Vamtac AGL selain lintas hormat udara oleh sembilan helikopter pelbagai jenis.