Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, anggota ATM bukan hanya menjalankan tugas mempertahankan negara tetapi turut bersedia menghulurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan oleh rakyat.

Menurutnya, bantuan yang dihulurkan itu mengikut konsep pertahanan menyeluruh ‘Hanruh’ iaitu tentera dan rakyat berpisah tiada.

“Anggota ATM bersedia turun ke bawah untuk pergi ke mana-mana ceruk kawasan jika ada rakyat yang memerlukan bantuan melalui Program Jiwa Murni ke­rana tugas mereka bukan sekadar mempertahankan negara.

“Hal ini kerana kita menye­dari walaupun ekonomi yang baik itu penting tetapi akan lebih penting apabila soal keselamatan dipertahankan tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” katanya ketika berucap dalam Program Gotong-Royong Perdana ATM yang dihadiri lebih 1,000 anggota masyarakat di Kampung Pueh, Sematan di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Ke­usa­hawanan, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum; Pre­siden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Ranum Mina.

Di samping itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang; Panglima Medan Timur TD, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar; Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw dan wakil calon BN, Azizul Annuar Adenan turut sama pada majlis itu.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan lima projek bernilai RM330,000 untuk penduduk sekitar Kampung Pueh.

Dalam pada itu katanya, seorang wakil rakyat perlu aktif memainkan peranan menjadi mata dan telinga serta penyambung lidah rakyat kepada kerajaan.

“Insya-Allah dengan pemilihan Kak Milah (Puan Sri Jamilah Anu) daripada calon Barisan Nasional (BN) sebagai wakil rakyat di sini, penduduk boleh memaklumkan apa sahaja kekurangan atau masalah kepada beliau untuk dibantu.

“Selepas itu, beliau boleh maklumkan perkara itu kepada saya untuk dibisikkan ke teli­nga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapat bantuan atau diselesaikan,” katanya.