Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tanpa jasa pengorbanan pasukan ke­selamatan dalam menjamin ke­amanan serta keselamatan negara, tidak mungkin Malaysia dapat mengecapi kejayaan dan rakyat dapat menikmati kemakmurannya seperti masa kini.

Sehubungan itu, kata beliau, rakyat dari semua lapisan masyarakat harus sentiasa meng­iktiraf serta mengenang jasa pe­ngorbanan para perajurit negara sama ada yang sedang berkhidmat mahupun sudah bersara.

“Saya juga ingin mengajak semua agar menanamkan semangat untuk terus berjuang supaya gene­rasi muda kita hari ini iaitu generasi yang kita anggap sebagai Transformasi Nasional 50 (TN50) dapat menjiwai semangat dan roh kepahlawanan yang telah diperlihatkan oleh generasi sebelum mereka.

“Mudah-mudahan ini akan me­letakkan Malaysia ke tahap lebih tinggi kerana kita bercita-cita supaya Malaysia tersenarai di kedudukan 20 termaju di dunia tetapi ingatlah salah satu daripada asasnya adalah untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan Negara di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dann Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hadir sama pada sambutan yang buat kali kedua diadakan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Sebanyak 606 warga ATM dan PDRM termasuk golongan veteran kedua-dua pasukan menyertai perbarisan sempena sambutan berkenaan.

Sebuah persembahan menge­nai kisah perjuangan Pasukan F dalam menentang pengganas komunis turut disajikan kepada hadirin selain deklamasi sajak bertajuk Pahlawan oleh Superintenden Rose Baini Kassim dari PDRM dan Leftenan Bakhri Shah Abdullah dari ATM.

Dalam pada itu, Najib berkata, sebagai sebuah negara, kerajaan perlu menjaga kebajikan dan ke­sejahteraan semua warga pasukan keselamatan justeru, kerajaan dari semasa ke semasa akan mengkaji segala kemudahan yang dapat diberikan kepada mereka.

Mewakili pihak kerajaan, beliau pada majlis tersebut telah menyatakan penghargaan terhadap jasa pengorbanan warga pasukan keselamatan dan yakin semangat perjuangan akan terus ditunjukkan oleh setiap daripada mereka sama ada dari ATM atau PDRM.

“Marilah kita berdoa kepada Allah agar dikurniakan rahmat bahagia kepada tanah tumpah darah Malaysia serta terus kekal daulat merdeka, aman makmur sentiasa serta mencapai ‘par excellence’ duniawi dan ukhrawi selama-lamanya,” katanya.