Tanpa keamanan hasil perjuangan pasukan keselamatan itu, negara serta rakyat tidak akan berada di tahap sepertimana yang dikecapi ketika ini, katanya.



Beliau berkata, keamanan yang dikecapi menyaksikan Malaysia mencatat pertumbuhan 5.8 peratus dalam Keluaran Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun ini, iaitu antara pertumbuhan yang tertinggi di dunia.



“Kita juga berada di tangga ke-29 daripada 193 negara paling aman di dunia dalam Indeks Keselamatan Global, malah Malaysia juga berada di kedudukan ke-23 negara yang mempunyai ekonomi paling berdaya saing.



“Ini semua tidak mungkin terjadi tanpa keamanan dan keselamatan dan atas sebab itulah pada saya, wajib bagi kita untuk sentiasa mengiktiraf, mengenang jasa serta pengorbanan para pahlawan negara,” katanya ketika berucap pada Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan Negara di sini, hari ini.

Hadir sama ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Majlis penuh istiadat itu dijayakan oleh seramai 606 anggota PDRM dan ATM.

Perdana Menteri menarik perhatian bahawa perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan perlu dihargai setiap hari dan bukan hanya pada sambutan tertentu sahaja.

Menurutnya, perjuangan menentang komunis, berdepan tragedi berdarah 13 Mei 1969, mematah serangan kumpulan militan Al-Maunah, menangani kegiatan Daesh, IS dan Al-Qaeda sehingga kepada peristiwa hitam pencerobohan musuh di Lahad Datu Sabah pada 2013 merupakan antara pengorbanan terbesar pasukan keselamatan yang tidak ternilai untuk diraikan setahun sekali.

"Sumbangan dan pengorbanan ini perlu disemat dalam ingatan setiap rakyat dan sebagai kerajaan, kita akan melakukan yang terbaik termasuk mengkaji segala kemudahan yang dapat diberikan dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan anggota keselamatan termasuk mereka yang telah bersara," katanya.
 
Perdana Menteri turut mengajak anggota dan bekas anggota keselamatan untuk terus mempamerkan semangat perjuangan yang tinggi agar semangat yang ditunjukkan dapat menjadi cerminan dan ikutan kepada generasi muda, khususnya generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Dengan cara itu, katanya, generasi TN50 dapat menjiwai semangat dan roh kepahlawanan generasi terdahulu sekaligus dijadikan pedoman dalam meneruskan perjuangan meletakkan Malaysia sebagai 20 negara termaju di dunia di masa hadapan.

"Perkara pertama yang perlu diingati ialah pertahankan keselamatan dan keamanan sedia ada kerana itu asas utama kepada kejayaan setiap cita-cita dan perancangan yang dibuat," katanya.
Perdana Menteri kemudiannya mengakhiri ucapan dengan menitipkan nukilan semangat dan penghargaan kepada pasukan keselamatan;

Duhai pahlawanku sekelian
Jasamu dikenang, khidmatmu kerajaan hargai
Dengan hati yang ikhlas lagi suci
Pergilah berjuang dengan gagah berani
Membela agama, bangsa dan pertiwi
Biar ditawan, ribuan mati
Namun menyerah tidak sesekali
Demikianlah sifat mulia pahlawan sejati. - BERNAMA