Menurut Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, langkah itu perlu dilakukan bagi mengelak insiden kematian semasa dalam tahanan seperti kes dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang maut Jumaat lepas, tidak berulang.

Beliau berkata, ATM mempunyai SOP sendiri seperti keperluan melakukan pemeriksaan kesihatan serta menjalani proses perbicaraan sebelum seseorang ditahan dan menjalani hukuman dalam pusat tahanan yang terdapat di semua kem tentera bagi dalam tempoh sehari sehingga 90 hari.

"Tetapi masalahnya ada yang tidak mengikut SOP, namun dalam kes yang berlaku di Perak itu kita serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan terperinci bagi melihat sama ada aspek itu diabaikan," katanya mengulas insiden kematian dua anggota TLDM ketika menjalani latihan fizikal di bilik tahanan Pusat Komunikasi TLDM Unit Sungai Wangi, Sitiawan pada petang Jumaat lepas.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan Negara, di sini hari ini, Raja Mohamed Affandi berkata, semua SOP itu perlu diselaraskan dan ditambah baik pada bahagian tertentu.

"Saya harap dengan cara ini kes kematian dalam tahanan itu akan menjadi kes terakhir direkodkan perkara itu tidak boleh diterima dalam setiap hierarki perkhidmatan ATM," katanya. - BERNAMA