Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pasukan ATM yang kini berada di Riyadh, Arab Saudi akan diatur gerak ke Somalia untuk melaksanakan bantuan kemanusiaan itu.

“Sebuah pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digerakkan bagi membawa bersama bekalan ubat-ubatan dan makanan.

“Seramai tiga pegawai dan 17 orang anggota lain-lain pangkat dari Kor Kesihatan Diraja (KKD) ATM dan disokong oleh kumpulan infantri 1 seksyen (seorang pegawai dan 10 anggota) akan digerakkan bagi memberi perlindungan keselamatan kepada pasukan Malaysia,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, anggota ATM yang berada di Arab Saudi diatur gerak ke Somalia kerana pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki mereka selama menjalani latihan di sana.

“Pengalaman dalam operasi evakuasi rakyat Malaysia dari Yemen dan latihan bersama de­ngan Angkatan Tentera Arab Saudi sebelum ini banyak membantu anggota kita membiasakan diri dengan persekitaran di sana.

“Ini sekali gus membolehkan kita merancang dan melaksanakan operasi ini di Somalia,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin menjelaskan, keputusan itu dicapai susulan pertemuan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri Somalia, Mohamed Omer Arteh Ghalib di Parlimen pada 14 Mac lalu.

“Dalam pertemuan tersebut, beliau telah memohon Kementerian Pertahanan menyalurkan bantuan makanan dan perubatan serta kepakaran anggota perubatan ATM kepada Somalia.

“Saya telah memaklumkan permohonan ini kepada Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini dan Jemaah Menteri bersetuju serta meluluskan permohonan tersebut,” katanya.