Perdana Menteri memberikan pengiktirafan itu kepada mereka semasa berucap pada majlis sambutan kepulangan kontinjen paralimpik negara di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan atlet paralimpik yang berjaya memenangi pingat gangsa akan dinaikkan insentif kepada RM200,000 berbanding RM100,000 sebelum ini.

Sebagai penghargaan terhadap kejayaan para atlet paralimpik itu juga, semua jurulatih dijanjikan insentif manakala Penaung Majlis Paralimpik Malaysia, Tun Jeanne Abdullah diberikan penghargaan khas kerana kepimpinannya menerajui sukan paralimpik.

“Saya kata kalau negara lain tidak mahu beri ganjaran kepada atlet paralimpik, tidak mengapa kerana di Malaysia, atlet paralimpik dilayan sama taraf dengan atlet-atlet yang lain.

“Bukan itu sahaja, saya nak beritahu mereka ini adalah ikon untuk semua rakyat Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Pada majlis sambutan itu Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta lebih 1,000 peminat sukan tanah air dan ahli keluarga para atlet memberi sambutan yang cukup meriah kepada kontinjen paralimpik yang diketuai oleh Ketua Kontinjen, Dr. Ang Kean Koo.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Malaysia memenangi tiga pingat emas menerusik pelari pecut paralimpik, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi; atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli; atlet lompat jauh, Abdul Latif Romly dan satu gangsa oleh atlet lompat jauh wanita, Siti Noor Radiah Ismail.

Najib berkata, kejayaan atlet-atlet paralimpik ini perlu dijadikan perangsang untuk semua rakyat supaya berusaha agar lebih maju dan terus berbangga menjadi rakyat Malaysia.

“Kerana kejayaan itu, sebagai penghargaan kerajaan memberikan mereka ganjaran, bagi yang memenangi pingat emas akan menerima RM1 juta (insentif) dan pencen RM5,000. Jurulatih juga tidak terkecuali akan diberi ganjaran sebab mereka ini merupakan wira-wira yang tidak didendang,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pasukan paralimpik negara mencatat sejarah hebat untuk negara dan ia adalah satu impian seluruh rakyat Malaysia.

“Apabila kita tengok pencapaian mereka kita jadi begitu terangsang kerana ia kejayaan luar biasa. Apabila tengok mereka menyalut bendera di badan sambil menyanyikan lagu Negaraku, meremang bulu roma kita.

“Mereka membuktikan kepada kita bahawa walaupun kita ada dugaan pada diri tetapi kalau ada keazaman dan iltizam pasti ada kemahuan untuk berjaya, kita boleh mencapai kejayaan di pentas besar dunia,” katanya.

Dalam Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Rio 2016, atlet-atlet negara termasuk paralimpik ditawarkan hadiah insentif RM1 juta bagi kejayaan memenangi emas, perak RM300,000 dan RM100,000 untuk pingat gangsa manakala pencen bulanan RM5,000 (emas), RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).

Pesawat Emirates EK 0346 yang membawa seramai 38 atlet paralimpik dan pegawai yang mencapai kejayaan di Sukan Paralimpik Rio, Brazil itu diberi sambutan penghormatan pancutan air sebaik sahaja mendarat di KLIA hari ini pada pukul 3.12 petang.