Mohd. Asri Zainul Abidin
Mohd. Asri Zainul Abidin 

Dalam masa sama, Mohd. Asri juga memohon agar atlet Muslim diberikan ruang mengamalkan agama mereka meskipun Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempunyai penjelasan atau pandangan lain berkaitan isu berkenaan.

“Saya menyokong kenyataan Presiden Pas iaitu umat Islam kalau memberi pandangan kenalah dalam kerangka sebagai seorang Muslim. 

“Kalau benda itu selama ini tidak betul, kita kena perbetulkan. Apa masalahnya kalau mereka tutup aurat, kita mampu buat bukan tidak mampu. Dia tidak boleh terikat dengan budaya yang bertentangan pandangan Islam,” katanya dalam status Facebooknya di sini, hari ini.

Kelmarin, Syed Saddiq mempertahankan atlet dan mengatakan pakaian sukan pilihan mereka perlu dihormati.

Syed Saddiq turut melahirkan kebimbangannya terhadap masa depan beberapa sukan seperti renang, gimrama dan bina badan jika pemakaian patuh syariah itu dilaksana.

Sebelum itu, akhbar melaporkan Kerajaan Pas Terengganu akan melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet sukan bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dilaporkan berkata, langkah tersebut bagi memastikan aspek sukan di Terengganu bertepatan dengan tuntutan agama Islam. - UTUSAN ONLINE