Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata, fasa pertama pelan jangka panjang yang dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dijangka dilaksanakan pada Jun ini di lemba­ngan Sungai Golok yang menelan kos RM300 juta.

Beliau berkata, peruntukan selebihnya melibatkan RM500 juta lagi disediakan bagi melaksanakan projek pengorekan muara sungai bagi mendalamkan Sungai Kelantan serta membina tambak di sungai tersebut.

“Pelaksanaan dua projek besar itu adalah sebagai usaha me­ngurangkan risiko banjir akibat limpahan air Sungai Kelantan dan kita menjangkakan projek itu dapat disiapkan dalam jangka masa lima tahun.

“Walau bagaimanapun, projek tambakan di Sungai Kelantan tidak akan menampakkan hasil yang nyata sekiranya pembalakan di kawasan sekitar masih berterusan sehingga membawa hakisan seperti batu-batan ke kawasan sungai,” katanya selepas melawat sahabat lamanya, seorang bekas komando, Abu Bakar Md. Ahmad di kediamannya di Taman Bukit Senang, Senai dekat sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pe­ngerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, kerajaan juga mengesyorkan Agen­si Pengurusan Bencana Negara (Nadma) supaya membuat penilaian kerosakan sosioekonomi fasa awal bagi rakyat yang terjejas banjir sejak akhir Disember 2016 hingga minggu pertama bulan ini.

Beliau berkata, penilaian tersebut sebagai langkah segera yang perlu diberi keutamaan bagi memastikan rakyat yang terjejas punca pendapatan sama ada dari segi aktiviti ekonomi dan pekerjaan dapat dipulihkan dengan bantuan sewajarnya.

Beliau turut berharap semua bantuan dan peruntukan yang disediakan Kerajaan Pusat untuk menangani masalah banjir ber­kenaan dapat diterima baik oleh kerajaan negeri.

“Walaupun kita tahu Kelantan diperintah Pas, tapi demi rakyat kita mahu membantu tanpa me­ngira fahaman politik,” katanya.

Mengulas mengenai isu ke­kurangan bekalan makanan terutamanya ikan sepanjang musim tengkujuh, Ahmad Zahid berkata, pihaknya sudah mengadakan per­bincangan dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi memastikan stok barangan itu mencukupi.

“Bekalan ikan masih lagi ter­kawal, namun dijangkakan ada kenaikan harga kerana mendapat permintaan tinggi. Oleh itu, kita akan memastikan penyelarasan harga dilakukan bagi memastikannya tidak membebankan pengguna,” katanya.