Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu & Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khai­rul Anwar Salleh berkata, pihaknya sudah bertemu dua Mufti bagi mendapatkan nasihat berhubung jalan cerita filem tersebut.

“Dalam sebuah negara yang majoriti islam, kita tak inginkan keharmonian digadai dengan seseorang menggunakan ke­sempatan agama untuk kepen­tingan dan kegiatan di luar ganggu ketenteraman negara.

KHAIRUL ANWAR
KHAIRUL ANWAR 

“Sebelum ini kami sudah mengeluarkan kenyataan filem ini lulus untuk ditayangkan. Setakat ini tiada pertemuan atau perbinca­ngan lanjutan berhubung isu yang sedang diperkatakan.

“Pihak kami sudah bertemu Mufti Wilayah Persekutuan dan Mufti Perlis untuk mendapatkan nasihat. Mungkin selepas ini, kami akan bertemu dengan lebih ramai pihak bagi mendapatkan pandangan mereka,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini mengeluarkan kenyataan untuk menyiasat dakwaan kononnya filem tersebut memberi imej buruk kepada Islam.

Tindakan itu berikutan ke­nyataan Anggota Jawatankuasa Pusat Pas, Dr. Riduan Md. Nor yang menggesa rakyat Malaysia memboikot untuk memberi pengajaran kepada mereka terlibat dalam filem itu.

Sementara itu, dalam kenyataan balas, Presi­den Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Norman Halim menyifatkan tindakan semak semula filem itu adalah tidak adil kerana Polis Evo 2 sudah mendapat kelulusan.

Dalam pada itu, Khairul berkata, peminat industri perfileman tempatan seharusnya menonton Polis Evo 2 terlebih dahulu sebelum melabelkan filem tersebut sebagai naskhah mencemarkan imej Islam.

Filem itu akan mula ditayangkan pada 22 November ini.

“Filem ini menyampaikan kesan buruk sekiranya kegiatan ajaran sesat tidak dibanteras. Ada isu kemanusiaan dan agama yang kita angkat supaya menjadi teladan semua pihak.

“Semua karakter yang dipaparkan adalah rekaan semata-mata. Tonton filem ini dahulu sebelum membuat keputusan,” katanya.

Filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew yang menampilkan gandingan Shaheizy Sam, Zizan Razak dan aktres Indonesia, Raline Shah itu akan mula ditayangkan pada 22 November ini.