Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, aspirasi tersebut merupakan antara 26,000 aspirasi yang dikumpul daripada 585,000 belia didekati melalui pelbagai saluran dan beliau yakin sasaran mendekati 1.5 juta belia dapat dicapai menje­lang hujung tahun ini.

Katanya, sebanyak 80 peratus daripada aspirasi yang dikumpul merangkumi lima hala tuju iaitu ekonomi dan pekerjaan; pendidikan dan pemerkasaan kemahiran; nilai-nilai masyarakat, persekitaran dan kesejahteraan hidup, serta tadbir urus kerajaan.

“Dalam aspek ekonomi dan pekerjaan, golongan belia mahu melihat sebuah negara yang mempunyai struktur dan sektor ekonomi yang maju, mampan dan berteknologi tinggi. Golo­ngan itu mahu pendapatan mereka meningkat dengan drastik dalam 30 tahun akan datang. Ini aspirasi utama belia Malaysia.

“Mereka juga hendak melihat sebuah ekonomi yang fleksibel. Mereka mengimpikan tempat cara bekerja yang tidak tertakluk kepada masa dan tempat kerja tetapi boleh menggunakan teknologi di mana-mana sahaja asalkan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI). Ini membolehkan mereka menceburi karier kedua sebagai seorang usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Dialog TN50: Dapatan Sehingga Kini dan Permulaan Fasa 2 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, golongan belia tidak mahu melihat Malaysia menjadi pengguna teknologi asing tetapi sebagai sebuah negara pembina, pereka dan pencipta teknologi sendiri.

Katanya, aspek yang turut mendapat perhatian belia adalah persekitaran dan ke­sejahteraan hidup melibatkan sistem pengangkutan yang maju dan bersepadu terutama infrastruktur pengangkutan di luar bandar dan antara ne­geri serta penggunaan teknologi hijau yang meluas dan pemba­ngunan mampan.

Dalam konteks pendidikan dan pemerkasaan kemahiran katanya, golongan tersebut menyuarakan berhubung pendidikan dengan kos minimum dari prasekolah hingga peringkat tertinggi serta pendidikan yang efektif untuk menyediakan generasi muda dan berumur menghadapi kehendak pasaran dan tekanan hidup serta perubahan teknologi.

“Berhubung aspek urus tadbir kerajaan, kebanyakan belia mahu lihat sistem urus tadbir kerajaan yang telus dan berintegriti melalui penggunaan data untuk pengumpulan data dan analisis data bagi meningkatkan proses membuat keputusan secara kompeten dan cekap.

“Sementara itu, daripada aspek nilai-nilai masyarakat, golongan itu menegaskan bahawa identiti sebagai warga Malaysia perlu dipegang namun semua mesti menghormati budaya, agama dan bahasa lain serta memastikan tiada sesiapa yang ke­tinggalan dalam peluang untuk menaiktaraf kehidupan selain meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat.

“Dalam pada itu, terdapat dua aspek penting yang kita lihat kurang dibincangkan iaitu kesihatan dan persaraan tetapi kita minta juga ia diketengahkan kerana pada 2050 kelak, golongan itu sendiri akan menjadi generasi tua,” katanya.

Sementara itu, Khairy memberitahu, bagi Fasa Ke-2, kementerian telah menubuhkan Kumpulan Masa Depan TN50 yang akan melihat dan mengkaji de­ngan lebih mendalam topik-topik utama yang berkaitan.

Beliau memberitahu, setiap kumpulan akan dianggotai lebih 10 anggota belia serta tiga pakar subjek dan hasil dari kajian kumpulan itu akan menjadi sebahagian besar daripada Laporan Belia TN50, juga input kepada pembentukan dasar, visi, dasar dan program TN50.

Jelasnya, kementerian membuka peluang kepada generasi muda untuk menyertai Kumpulan Masa Depan TN50 sebelum keahlian kumpulan tersebut dimuktamadkan.

Beliau berkata, generasi muda yang berminat atau ingin mencalonkan nama individu lain yang diyakini berkaliber boleh berbuat demikian bermula hari ini hingga 12 Mei depan.

“Kementerian telah mengenal pasti sebahagian besar daripada kumpulan tersebut tetapi kita buka lagi kemasukan generasi muda lain. Kita mahu mereka yang ada kepakaran dalam bidang-bidang tertentu menyertai kumpulan ini,” katanya.