LEE LAM THYE
LEE LAM THYE

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sekiranya langkah-langkah keselamatan dapat diamalkan oleh semua pihak, insiden yang menimbulkan trauma itu sudah pasti dapat dikurangkan di masa akan datang.


“Pemaju perumahan bertingkat dan premis dinasihatkan supaya sentiasa memastikan lif yang beroperasi dan berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) perlu diperiksa setiap 15 bulan bagi memperbaharui Sijil Perakuan kelayakan menggunakan kemudahan tersebut.

“Semua pihak terbabit perlu mematuhi semua peraturan di bawah garis panduan Keselamatan Bagi Penggunaan Lif dan Eskalator yang dikeluarkan oleh JKKP dan ia antara lain menetapkan tanggungjawab setiap pihak yang berkepentingan iaitu pihak berkuasa, pemilik lif, pengguna lif serta firma kompeten berdaftar yang dilantik untuk menyelenggara kemudahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian pasangan suami isteri warga emas yang terperangkap hampir 26 jam di dalam lif di sebuah pasar raya di Meru Raya, Ipoh, Perak kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, pasangan warga emas berkenaan Md. Dahalan Baki,74, dan isterinya Ahadiyah Zakaria,70, berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam lif sebelum berjaya diselamatkan.

Katanya, aspek penyelenggaraan lif dan eskalator amat dititikberatkan dan sepatutnya tidak menjadi masalah, justeru itu semua pihak perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing berlandaskan undang-undang dan garis panduan komprehensif yang telah dikeluarkan oleh pihak berwajib.

“Semua ini dapat dilaksanakan jika kita membuang budaya tidak komited, sebagai contoh pemilik atau pengurusan bangunan perlu memastikan kemudahan tersebut diperiksa dengan kerap.

“Pengurusan juga perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di dalam dan luar lif bagi memastikan tiada ada pengguna yang terperangkap,” katanya.

Dalam masa sama, Lam Thye berkata, pendekatan yang sama boleh digunakan untuk mengatasi masalah lif rosak yang disebabkan oleh vandalisme terutamanya rumah pangsa dan bangunan milik kerajaan. - UTUSAN ONLINE