Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, satu keputusan telah dicapai untuk memastikan negara yang menerima kehadiran pelarian Rohingya menguruskan masalah itu bersama Kerajaan Myanmar sendiri.

"Apabila sesebuah negara berhadapan dengan masalah ini (kedatangan pelarian Rohingya), ia tidak seharusnya berfikir untuk menghantar pelarian ini kepada negara jiran.

"Ia perlu menyelesaikan masalah ini sendiri," katanya pada sidang media di sini sejurus sebelum berlepas ke Jakarta, petang ini.

Menurutnya, para pemimpin ASEAN bersetuju untuk membawa isu Rohingya ini kepada jawatankuasa khas iaitu Persidangan Bali Peringkat Menteri mengenai Penyeludupan Manusia, Pengedaran Manusia dan Jenayah Berkaitan Rentas Sempadan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu Rohingya dan dakwaan mengatakan pihak berkuasa Thailand memberi layanan buruk kepada pelarian etnik itu yang cuba mendapatkan perlindungan di negara ini.

Sementara itu, dalam perkembangan isu yang sama, Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva sewaktu sidang akhbar tengah hari ini berkata, para pemimpin ASEAN mencapai persetujuan untuk merujuk pelarian Rohingya dan etnik lain dari wilayah Myanmar sebagai pendatang tanpa izin di Lautan Hindi.

Kata Abhisit, keputusan itu dicapai dalam usaha memberi layanan yang sama kepada semua pendatang yang menghadapi keadaan yang sukar sama ada mereka terdiri daripada Rohingya, Benggali atau etnik lain dari rantau itu.

Beliau bagaimanapun menafikan bahawa isu Rohingya menjadi satu perkara yang dilarang atau 'pantang' di kalangan pemimpin ASEAN sehingga perkataan itu tidak digunakan dan digantikan dengan terma pendatang tanpa izin di Lautan Hindi tersebut.

Menurut Abhisit, Perdana Menteri Myanmar, Thein Sein turut memberi taklimat berhubung perkembangan politik terkini dan kemajuan dalam pelaksanaan tujuh langkah ke Pelan Damai Demokrasi di negara itu.