Pengerusi Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa (gambar) berkata, sejak penubuhannya pada 1967, ASEAN telah mencapai kemajuan luar biasa dalam menggalakkan kerjasama serantau dan menyumbang kepada keamanan, kemajuan serta kemakmuran.

“ASEAN merupakan salah satu daripada beberapa pertubuhan serantau yang masih bertahan dan kekal relevan dalam mengurus hal ehwal dunia pada ketika ini.

“Saya mewakili GMM mengucapkan tahniah kepada ASEAN atas sambutan ulang tahunnya hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasharudin menambah, sebagai sebahagian daripada ASEAN, GMM berhasrat untuk menawarkan diri menjadi platform dalam menyatukan komuniti ASEAN yang terdiri daripada pelbagai etnik, bahasa dan agama.

Ujar beliau, pihaknya percaya perbezaan yang dimiliki oleh negara-negara anggota merupakan kekuatan untuk mempromosikan agenda kesederhanaan dalam memperkukuhkan lagi kesatuan ASEAN sekali gus menjamin keamanan rantau ini.