Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penekanan kepada aspek kepusatan, kesatuan dan solidariti dalam ASEAN sangat penting kerana sebarang percanggahan akan melemahkan blok itu dalam apa juga perkara yang dilakukan sama ada dalam menyelesaikan pertikaian atau hubungannya dengan negara-negara kuasa besar.

Beliau berkata, memang terdapat cabaran untuk mewujudkan kesatuan dan kepusatan itu kerana ada negara yang mempu­nyai kaedah yang berlainan dalam menangani isu-isu tertentu dan bagaimana sesuatu isu itu patut diselesaikan tetapi ASEAN tidak boleh berpecah.

“Tetapi kita akan terus menekankan bahawa ASEAN mesti konsisten dengan pandangan ASEAN yang bermaksud ASEAN perlu menjadi pertubuhan yang patuh kepada peraturan, berpaksikan rakyat, dilihat sebagai organisasi kuasa besar yang bersahabat tetapi tegas mempertahankan prinsip-prinsip tertentu.

“Kita bercakap bagi pihak 625 juta orang (warga ASEAN) dan bukannya bagi satu negara sahaja,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 di sini hari ini.

Sidang kemuncak itu dirasmikan oleh Presiden Laos, Bounn­hang Vorachith.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sekarang adalah masanya untuk ASEAN bergerak bagi mencapai perkara yang diputuskan dalam sidang kemuncak yang lalu di Kuala Lumpur iaitu selepas dimasyhurkan sebagai Komuniti Ekonomi ASEAN.

Katanya, beliau menekankan supaya tumpuan diberikan kepada sektor perkhidmatan iaitu perdagangan dan perkhidmatan intra ASEAN untuk meningkatkan pertumbuhan ASEAN dan gembira apabila 50 peratus daripada pelan tindakan dalam bidang politik dan keselamatan telah dicapai.

Mengenai pertemuan perta­manya dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang juga kali pertama menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, Najib berkata, pemimpin Filipina itu menyua­rakan keprihatinannya terhadap isu keganasan susulan kejadian serangan bom di Davao City baru-baru ini yang membunuh 14 penduduk.

Katanya, Duterte juga menyatakan hasrat untuk melawat Malaysia pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Selain Duterte, Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi juga kali pertama menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN selaku wakil kerajaan negara itu.

Dalam upacara perasmian sidang kemuncak itu, 10 pemimpin ASEAN turut melancarkan logo Visit [email protected] sebagai permulaan kepada kempen melawat ASEAN 2017 sempena genap 50 tahun penubuhan blok kerjasama serantau itu.

Turut dilancarkan ialah Perakuan Pelan Induk Kesalinghubu­ngan ASEAN 2025 (MPAC 2025) yang akan memainkan peranan penting dalam mempergiatkan integrasi serantau.