HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN bersalaman dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Ashton Carter di Singapura, semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, adalah penting untuk memastikan perjanjian yang dibuat kuasa-kuasa besar se­perti Amerika Syarikat dan China tidak mengetepikan kepentingan negara-negara kecil seperti Malaysia.

“Negara-negara kecil bimbang perjanjian yang dibuat kuasa-kuasa besar itu akan menyebabkan mereka terkapai-kapai. Itulah sebabnya ASEAN penting,” katanya semasa sesi soal jawab pada sesi pleno ke­dua pada hari kedua Sidang Kemuncak Dialog Shangri-La Ke-15 Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik (IISS) di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapan plenonya, Hishammuddin berkata, bagi Malaysia dan rakan-rakannya di Asia Tenggara, ASEAN sentiasa menjadi platform utama mereka.

Sesi pleno itu yang membincangkan mengenai Mana­ging Military Competition in Asia (Mengurus Saingan Ketenteraan di Asia) turut dihadiri Menteri Pertahanan India dan Jepun, Manohar Parrikar dan Jen Nakatani sebagai anggota panel. Ia dikendalikan Ketua Pengarah dan Ketua Eksekutif IISS Dr John Chipman.

Dalam ucapannya, Hishammuddin juga menggariskan tiga strategi dalam menguruskan per­saingan ketenteraan iaitu de­ngan membina kepercayaan di semua peringkat, patuh kepada undang-undang dan norma antarabangsa, serta kepemimpinan.

Mengenai kepemimpinan, beliau berkata, secara rasionalnya, pemimpin yang tenang dan visi keamanan boleh menjamin ke­stabilan di rantau ini.

“Ketiadaan (strategi) ini akan membawa kepada kehancuran. Kepemimpinan bukan sahaja sekadar memberi arahan tetapi me­nguruskan kepentingan persa­ingan.

“Ia tentang mengetahui bila hendak memberi dan mengambil, yang kadang-kala kita harus memberi dahulu atau hanya mengambil sedikit,” katanya.

Hishammuddin juga me­ne­gaskan bahawa kepemimpinan bukan sahaja diperlukan di pe­ringkat paling tinggi. – BERNAMA