Beliau berkata, ini kerana kedua-dua rantau yang diiktiraf sebagai pusat perkembangan dunia itu tidak pernah mengundang sebarang persaingan, ketidakstabilan dan konfrontasi dengan mana-mana kuasa lain.

“Ketika ini, negara yang digelar sebagai kuasa besar tidak banyak. Kuasa yang dianggap kuat hanyalah Amerika Syarikat (AS) kerana ia mempunyai koleksi kuasa berbahaya yang boleh diguna dan ditonjolkan di peringkat global.

“Sebenarnya banyak negara lain yang mempunyai koleksi yang sama tetapi tidak ditonjolkan. Namun, kita perlu ingat negara yang sering menonjolkan kekuasaan ini adalah mereka yang sering mendapat tentangan paling hebat di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan bertajuk The Role of Superpowers in the Realignment of Global Power: Between Realpolitic and Softpower pada Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global 2012 di sini, hari ini.

Sesi itu turut disertai oleh Presiden East-West Center, Dr. Charles E. Morrison manakala perantaranya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Razak School of Government, Prof. Madya Dr. Hamidin Abd. Hamid.

Surin turut menegaskan, kuasa yang berpengaruh tetapi bukan kuasa besar lebih ditonjolkan di ASEAN dan Asia Timur berbanding rantau lain.

“Namun, dalam memainkan peranan ini, kita mengharapkan kuasa luar menghormati agenda-agenda yang telah ditetapkan oleh ASEAN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, peranan ASEAN sangat jelas terutama melalui pengalaman mengendalikan pelbagai krisis negara anggota tanpa sebarang konfrontasi antara satu sama lain.

“Dengan 600 juta penduduk dan pelbagai penganut seperti Islam, Katolik dan Kristian, ASEAN memegang aspirasi kesederhanaan, serta menghargai prinsip itu serta seterusnya memastikan ia kekal,” ujarnya.