Menurut Timbalan Presidennya, Ghazali Bujang, kerajaan mahupun Kementerian Pendidikan dilihat tidak sewajarnya melayan tuntutan-tuntutan pihak tertentu yang mahukan UEC ini diiktiraf kerana jelas perjuangan pihak itu adalah demi kepentingan politik sempit dan perkauman mereka.

“Sebagai perintis sekolah berasrama penuh berbahasa kebangsaan, ASAS tentunya membantah terhadap ura-ura agar UEC ini diiktiraf dan kami berpendirian pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan harus menghentikan terus sebarang tolak ansur ataupun membuat apa-apa janji untuk mengiktiraf UC.

“UEC jelas bertentangan dengan sistem pendidikan kebangsaan yang menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan digunakan sebagai bahasa pengantar utama, menggunakan kurikulum yang sama dan sistem penilaian pendidikan yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Ghazali, ASAS telah menyediakan satu memorandum bantahan terhadap cadangan pengiktirafan UEC tersebut dan akan diserahkan kepada wakil Menteri Pendidikan dalam masa terdekat. - UTUSAN ONLINE