Pendedahan itu dilakukan apabila ibu bapa mula sedar bahawa pembelajaran tidak formal melalui pendekatan kreatif seperti seni muzik, tarian dan lukisan merupakan salah satu cara membentuk pemikiran pelajar ke arah lebih cemerlang dan menjadi modal insan serba lengkap pada masa akan datang.

Bagaimanapun, tidak semua pelajar berpeluang mendapatkan pendedahan tersebut lebih-lebih lagi golongan kanak-ka­nak dan remaja yang membesar dalam kea­daan yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim dan mereka yang kurang berkemam­puan.

Menyedari hakikat itu, Pusat Krea­tif Kanak-Kanak Tuan­ku Bainun (PKK Tuanku Bainun) te­lah bekerjasama dengan Yayasan Hasanah, sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) bagi menyediakan peluang kepada pelajar untuk mempelajari beberapa bidang seni sekali gus menggalakkan mereka meneruskan minat dalam bidang tersebut.

Hasilnya, seramai 210 pelajar te­lah dipilih untuk menyertai program Alam Kreatif anjuran PKK Tuanku Bainun selama setahun bermula November 2016 dan pengli­batan mereka di dalam program tersebut dibia­yai sepenuhnya oleh Yayasan Hasanah.

Menurut Pengurus Besar PKK Tuanku Bainun, Raja Mazlena Raja Aziz, pelajar ter­babit diberi pilihan untuk mengikuti sama ada kelas masakan, gamelan atau kelas seni persembahan kategori topeng dan pergerakan.

“Program itu direka untuk membangunkan potensi ba­kat pelajar tersebut dalam seni warisan negara dan kesemua mereka ha­dir tanpa sebarang pengetahuan atau pendedahan ber­kai­tan cabang seni yang dipilih.

“Mereka yang terlibat adalah pelajar termasuk kanak-kanak ber­umur antara tujuh hingga 18 tahun daripada beberapa buah rumah perlindungan antaranya Yayasan Hii Chii Kok dan Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan iaitu sebuah sekolah untuk murid Orang Asli yang terletak di Bandar Damansara Perdana, Se­­langor.

“Bagi memudahkan perjalanan program ini, setiap satu rumah perlindungan memilih sa­tu kelas untuk diikuti dengan kumpulan pelajarnya antara 15 hingga 20 orang dan kami akan memastikan mereka mengikuti kelas tersebut dari awal hingga selesainya program ini selama setahun,” katanya.

PKK Tuanku Bainun yang didirikan di atas sebidang tanah seluas 0.81 hektar itu diilhamkan daripada pusat kanak-kanak yang terdapat di Boston, Amerika Syarikat dan Tokyo, Jepun. Idea penubuhannya dicetuskan pada tahun 1989 oleh Raja Permaisuri Agong pada waktu itu, Tuanku Bainun.

Walaupun ditubuhkan pada tahun 1995, namun pusat itu hanya memulakan operasinya pada 2013 dan kini berfungsi sebagai sebuah tempat selamat untuk kanak-kanak dan remaja menjejalah serta mengembangkan kreativiti masing-masing menerusi Program Alam Kreatif anjurannya. Setakat ini, Program Alam Kreatif menawarkan program seperti seni persembahan, seni visual, seni sastera dan kemahiran hidupan

Raja Mazlena berkata, sepanjang setahun mengikuti program Alam Kreatif, setiap pelajar dapat mempelajari seni pilihan mereka sehingga ke tahap tiga. Setiap tahap memerlukan mereka untuk mengikuti sebanyak 10 kelas pada setiap Sabtu dan Ahad.

Sementara itu katanya, selari dengan matlamat Yayasan Hasanah yang ingin mengembalikan seni warisan negara, pihaknya lebih banyak menerapkan elemen tradisional dalam setiap kelas seperti mengete­ngahkan muzik tradisional, me­­­ngajar membuat kuih-muih tradisional, memilih melakonkan cerita Hang Tuah bagi ka­tegori topeng dan pergerakan.

Beliau berkata, bagi mengukur keberkesanan program tersebut, setiap pelajar dan penjaga dikehendaki mengisi borang soal selidik kekuatan dan kesukaran (SDQ) untuk menilai tahap pencapaian mereka.

Katanya, borang SDQ itu juga menilai kekuatan dan kelemahan pelajar terbabit melalui empat komponen lain seperti gejala sosial, masalah tingkah laku, hiperaktif atau tidak memberi tum­puan dan masalah perhubungan.

“Kami amat berbangga kerana semua peserta yang mengambil bahagian menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila ak­hirnya mampu memasak, bermain alat muzik gamelan atau mempersembahkan tarian menakjubkan walaupun pada awalnya langsung tidak pernah didedahkan dengan cabang seni tersebut.

“Malah, salah seorang pelajar yang juga merupakan penghidap kanser kini lebih yakin dengan kehidupannya setelah mengikuti kelas masakan melalui program ini dan kini bercita-cita untuk menjadi seorang chef,” katanya.

Raja Mazlena berkata, pelajar dari Yayasan Hii Chii Kok itu sebenarnya telah berputus asa sehingga berhenti sekolah sejak dua tahun lalu. Namun, hasil program yang diikuti, dia ak­hirnya mampu bangkit dan menjadi seorang individu yang lebih berkeyakinan dan mempunyai matlamat hidup.

Selain itu katanya, impak pendedahan seni ini turut dilihat pada seorang murid Orang Asli yang semakin mahir bermain hampir kesemua alat gamelan dan mempunyai kebolehan serta pemahaman irama yang baik.

“Kesemua pelajar itu akan mempersembahkan apa yang mereka pelajari selama setahun kepada orang ramai ketika Hari Terbuka PKK Tuanku Bainun yang bakal diadakan pada 13 Januari 2018.

“Kami juga akan cuba ber­usaha mencari dana untuk membantu mereka dapat meneruskan pembelajaran dalam bidang seni ini pada masa akan datang sekurang-kurangnya tamat pada tahap enam,” katanya.