Walaupun Malaysia negara kecil tetapi menurut Perdana Menteri, Trump mengambil serius pandangan Malaysia berhubung isu-isu antarabangsa seperti Korea Utara, perkembangan Asia Barat dan saingan di Laut China Selatan.

“Saya sangat gembira disambut mesra oleh Presiden Amerika Syarikat dan beliau begitu bersungguh-sungguh (mengalu-alukan kedatangan saya).

“Beliau menerima saya bukan semata-mata sebagai Perdana Menteri tetapi juga sebagai seorang kawan,” katanya kepada wartawan Malaysia di akhir lawatan tiga hari ke pusat pentadbiran Amerika Syarikat itu pada Rabu.

Najib menambah, beliau juga tenang tanpa apa-apa tekanan semasa pertemuan dengan Pre­siden AS di White House biarpun dilemparkan dengan pelbagai komen negatif berhubung kunjungan itu.

Pelbagai komen negatif tersiar antara lain mengaitkan Najib dengan siasatan Jabatan Keadilan AS terhadap 1MDB, mengi­ringi kunjungan beliau ke White House atas jemputan pemimpin negara kuasa besar itu.

Pentadbiran Trump bagaima­na­pun mengambil serius kunjungan Najib apabila delegasi beliau turut disertai barisan penasihat kanan termasuk Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Rex Tillerson, Ketua Staf Jeneral John Kelly dan Penasihat Keselamatan Negara Lt Jen H.R. McMaster.

Mengulas lanjut, Najib berkata, berikutan sambutan yang cukup baik diberikan Trump dan anggota Kabinet beliau, semua komen negatif tersebut sama sekali tidak ada asas untuk diterima rakyat Malaysia.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin korporat AS yang beliau temui turut menyatakan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia serta menjangka pertambahan keuntungan pada tahun depan.

“Ini menunjukkan ada keya­kinan dan mengikut laporan kebanyakan syarikat Amerika Syarikat yang beroperasi di Malaysia menjangkakan keuntungan bertambah pada tahun depan,” katanya.

Najib kemudian berlepas ke London bagi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Britain Theresa May di No. 10, Downing Street. – UTUSAN